RAMADHAN, SOLAT SUNAT TARAWIH DAN WANITA




السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ

Ramadhan datang lagi. Alhamdulillah, kita berkesempatan lagi menyambutnya. Semoga Allah memberi kesempatan untuk kita memanfaatkan Ramadhan kali ini dengan semampu boleh. Moga Allah beri kita kesihatan yang baik untuk menyempurnakan amalan kerana mungkin Ramadhan ini adalah Ramadhan kita yang terakhir.

Malam ini, masjid-masjid di seluruh dunia pasti dipenuhi manusia, lelaki, perempuan dan kanak-kanak yang mahu mengerjakan solat tarawih di malam pertama Ramadhan. Indahnya pemandangan bila masjid-masjid dipenuhi dari hujung ke hujung, dari sudut ke sudut. Biarlah pemandangan ini kekal sehingga berakhirnya Ramadhan.

Apakah yang di cari? Mengapakah Solat Sunat Tarawih begitu ingin dikerjakan? Apakah solat sunat Tarawih?

Solat Sunat Tarawih ialah solat pada malam bulan Ramadhan. Nama sebenarnya, seperti yang disebut oleh hadis sahih, ialah solat Ramadhan (Qiyam Ramadhan).

Tarawih adalah kata jamak bagi tarwihah, ertinya berhenti rehat. Qiyam Ramadhan ini dilakukan dengan setiap empat rakaat berhenti rehat, maka empat rakaat itu dipanggil satu tarwihah. Kalau sembahyang itu 20 rakaat, maka akan ada lima tarawih. Tidak ada hukum untuk berehat. Seseorang boleh sahaja terus sembahyang hingga habis, tanpa berhenti.

Mengapa solat sunat Tarawih? Apa HlKMAH mengerjakannya?

Solat sunat tarawih (Qiyam Ramadhan) dilakukan pada malam Ramadhan, secara berjamaah. Solat ini dilaksanakan dengan “berehat-rehat”, kerana ia biasanya dilakukan di masjid secara berjamaah. Maksud berhenti rehat adalah berhenti sekejap. Tujuan solat berehat-rehat untuk mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa, disamping memberikan keikhlasan dan ketenangan kepada orang yang sembahyang, khususnya orang yang berumur.

Solat ini digalakkan sebagai cara untuk menghidupkan malam bulan Ramadhan.

Nabi menggalakkan orang qiyam Ramadhan, tanpa menjadikannya wajib. Baginda bersabda:

“Siapa yang qiyam Ramadhan dengan beriman dan cermat (ihtisaban) akan diampuni dosanya yang lalu.”(Riwayat Jamaah)

Bulan Ramadhan bulan yang penuh berkat dan diberikan hikmat, antaranya ialah malam diturunkan Quran dan “lailatul qadar”. Solat tarawih dapat menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh seseorang. Solat tarawih ini jika dilakukan pada bulan selain bulan Ramadhan dipanggil solat malam – “solat lail”. Namun solat tarawih lebih utama kerana kedudukannya pada bulan Ramadhan. Solat ini tidak pernah ditinggalkan oleh Nabi, tetapi cara melakukannya ada kalanya berjamaah di masjid dan ada kalanya tidak.

Sekarang jom fahamkan bagaimanakah sebagai wanita seharusnya mengerjakan solat sunat tarawih ini. 

Kaum wanita dibolehkan keluar dari rumah mereka apabila ada keperluan yang sangat mendesak, demikian juga diharuskan bagi mereka pergi ke masjid, asalkan mereka menutup aurat dengan sempurna, tidak memakai wangi-wangian dan tidak memakai perhiasan yang menimbulkan suara gemerincing. 

Meskipun wanita diharuskan pergi ke masjid, namun Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka melaksanakan solat di rumah-rumah mereka. Bahkan...., 

Solat seorang wanita yang dikerjakan di rumahnya lebih baik daripada solatnya yang dikerjakan di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi. Padahal, seseorang yang mengerjakan solat di Masjidil Haram akan memperolehi pahala 100 000 kali ganda dan di Masjidin Nabawi 50 000 kali ganda.
Oleh kerana itu, dalam sebuah hadith diceritakan mengenai seorang sahabiyah, Ummu Sa’adah r.anha yang datang menemui Rasulullah SAW dan berkata,

“Ya Rasulullah, saya ingin melaksanakan solat denganmu secara berjemaah di masjid.” 

Rasulullah SAW bersabda,
“Saya mengetahui betapa engkau berkeinginan untuk melaksanakan solat di belakangku dengan berjemaah, akan tetapi.... 
apabila engkau melaksanakan solat di bahagian yang paling dalam di dalam rumahmu adalah lebih baik daripada mengerjakannya di dalam rumahmu, mengerjakan solat di dalam rumahmu lebih baik daripada mengerjakannya di perkarangan rumahmu, mengerjakan solat di perkarangan rumahmu lebih baik daripada mengerjakannya di masjid tetanggamu, (masjid yang berdekatan dengan rumahnya) dan mengerjakan solat di masjid tetanggamu lebih baik daripada datang ke masjidku.”
(Musnad Ahmad).

Urwah r.a. meriwayatkan kata-kata daripada Saidatina Aisyah r.anha sebagai berikut,

“Wanita-wanita Bani Israil membuat sandal yang diperbuat dari kayu yang mereka pakai ke tempat-tempat ibadah mereka, dan mereka senantiasa menarik perhatian laki-laki, oleh karena itu Allah melarang mereka pergi ke sinagog (tempat ibadah orang Yahudi).” 

(Musnad Abdur Razzaq)

Dalam athar yang lain, Saidatina Aisyah r.anha berkata,

“Jika Rasulullah SAW melihat tingkah laku kaum wanita setelah baginda wafat, nescaya baginda akan melarang mereka datang ke masjid sebagaimana wanita-wanita Bani Israil.”

Di dalam bulan Ramadhan ini, (terutamanya pada awal bulan), ramai di antara kita, wanita Malaysia, berpusu-pusu ke masjid untuk menunaikan solat sunat tarawih. Macam-macam alasan yang kita berikan. Antaranya; Tidak pandai solat sendiri di rumah dan tidak hafal bacaan-bacaan yang dibaca secara beramai-ramai di antara solat-solat tersebut. Ada juga yang kata, “Senang solat kat masjid, kita cuma baca Fatihah jer……….., dapat jumpa kawan……….”


Susah sangatkah solat sunat tarawih ni? Sebenarnya, 

Cara mengerjakan solat tarawih sebenarnya mudah saja.

- Ia dilakukan dengan setiap dua rakaat satu salam.

Selepas membaca bacaan wajib iaitu Fatihah, sunat membaca sebarang ayat atau surah daripada Al-Qur’an, tidak kira pendek atau panjang, atau berulang-ulang, asalkan bacaan itu betul dan solat ini dibuat dengan cermat. Tidak ada hadis Nabi SAW tentang bacaan surah ini. 

- Segala bacaan di luar solat, seperti salawat, doa dan periwayatan khalifah tidak termasuk amalan solat tarawih, tetapi hanya selingan antara solat. Tidak ada larangan untuk bersalawat atau berdoa, jika cara dan adab melakukannya baik. Ia juga tidak menjejaskan solat tarawih jika ditinggalkan.

Walau bagaimanapun, Rasulullah SAW tidak melarang para wanita pergi ke masjid seperti untuk menuntut ilmu fardu ain (sekiranya suami tidak mampu mengajar……..?), atau wanita-wanita tua yang sudah kurang urusan di rumahnya. 

Bagi kaum ibu pula, pastikan urusan rumah telah beres dan anak-anak yang ditinggalkan pula selamat (seperti anda mempunyai anak dara dan teruna – pastikan mereka menjaga ibadah solat sepeninggalan anda dan tidak mengundang berlakunya sumbang mahram sepanjang ketiadaan anda.) 

Rasulullah SAW pernah bersabda 
“Jihaadukunna fii baitikunna"  
yang maksudnya lebih kurang, 
"jihad kamu wahai kaum wanita adalah di dalam rumah tangga kamu”
Wahai kaum wanita yang budiman, solatlah kamu mengikut cara atau anjuran Rasulullah SAW. Baginda diutuskan untuk memberi panduan bagaimana cara beribadah, beraqidah dan berakhlak. 

rujukan: terima kasih kepada..
.
Share on Google Plus

About Captain

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment